Showing posts with label Nota Komsas. Show all posts
Showing posts with label Nota Komsas. Show all posts

Tuesday, December 20, 2011

SELAMAT DATANG

Assalamualaikum dan selamat sejahtera anak-anak murid. Cikgu Ajar Bahasa (CAB) ucapkan selamat datang ke blog puisi Melayu tingkatan 2. CAB berharap agar anak-anak murid mendapat ilmu berkaitan puisi Melayu di sini. Selamat belajar dan selamat maju jaya!!!

Monday, December 19, 2011

ISTILAH SASTERA


Tema :

Tema merupakan persoalan pokok yang diberikan penekanan oleh pengarang bagi mendasari sesebuah karya. Terdapat hanya satu tema sahaja dalam sesebuah karya.


Persoalan :

Persoalan ialah perkara-perkara yang mendasari dalam sesebuah karya berfungsi untuk memperkukuhkan tema atau pemikiran. Lazimnya persoalan boleh hadir lebih dari satu dalam sesebuah karya.


Gaya bahasa

Gaya bahasa merupakan cara pengarang menggunakan bahasa dengan baik dan kreatif dalam mengungkapkan tema dan persoalan dalam sesebuah karya.


gaya bahasa terbahagi kepada 3

  • Gaya bahasa perbandingan
  • Gaya bahasa penegasan
  • Gaya bahasa pertentangan

Gaya bahasa Perbandingan

  • Hiperbola : menyatakan sesuatu dalam cara yang sangat berlebih-lebihan daripada keadaan biasa.
  • Metafora : membandingkan sesuatu dengan yang lain yang lazimnya menggunakan dua perkataan, iiatu satu perkataan abstrak dan satu perkataan konkrik.
  • Personafikasi : memberi sifat manusia kepada sesuatu objek atau konsep bukan hidup.
  • Simile : membandingkan sesuatu benda, keadaan atau peristiwa dengan benda lain bagi mewujudkan persamaan dengan menggunakan kata bak, bagai, ibarat, umpama, macam dan seperti.

Gaya bahasa penegasan

  • Repitasi
  • Anafora
  • Epifora
  • Inversi

Gaya bahasa pertentangan

  • Paradok


Unsur Bunyi

  • Rima : perulangan bunyi yang sama dalam baris puisi atau akhir puisi yang berfungsi untuk menimbulkan keindahan dan memberikan kesenangan indera kepada pembaca.
  • Aliterasi : perulangan bunyi konsonan dalam baris yang sama
  • Asonansi : perulangan bunyi vokal dalam baris yang sama.


Nilai

Nilai merupakan perbuatan positif yang dapat diteladani oleh pembaca.

Pengajaran

Pengajaran ialah mesej yang ingin disampaikan oleh pengarang dalam bentuk peringatan dan pedoman.

Sunday, December 18, 2011

PUISI MODEN

SAJAK

Puisi moden iaitu sajak merupakan puisi bebasa yang tidak terikat pada sesuatu pola khusus walaupun ada ketikanya mempunyai ciri rima dan rentak.

Unsur-unsur sajak terdiri daripada:

Tema iaitu persoalan pokok yang dikemukakan oleh penyajak dengan bersumberkan pengalaman penyajak secara langsung dengan alam dan kehidupan manusia, contohnya:


  • Tema persoalan diri.
  • Tema masyarakat.
  • Tema cinta.
  • Tema alam sekitar.
  • Tema nasionalisme.
  • Tema keagamaan.

Bentuk sajak terdiri daripada bentuk luaran dan bentuk dalaman.

  • Bentuk luaran merangkumi susunan baris dalam rangkap atau stanza, susunan atau jumlah perkataan baris, dan susunan rima di hujung baris dalam rangkap.
  • Bentuk luaran sajak berdasarkan jumlah baris dalam setiap rangkap adalah:
  1. Distikhon – terdapat dua baris dalam serangkap sajak
  2. Kuatren – terdapat empat baris dalam serangkap sajak.
  3. Kuintain – terdapat lima baris dalam serangkap sajak
  4. Sestet – terdapat enam baris dalam serangkap sajak.
  5. Septet – terdapat tujuh baris dalam serangkap sajak.

Bentuk dalaman merangkumi cara persembahan fikiran daripada emosi atau perasaan yang terhasil daripada penggunaan bahasa.

Jenis-jenis sajak;


  • Balada – sajak romantik
  • Dramatik – sajak yang diselitkan dialog
  • Elegi – sajak yang mengungkapkan perasaan dukacita dan keluh
  • Epigram – sajak yang mengungkapkan nasihat atau pengajaran tentang kehidupan.
  • Hymn – sajak yang menunjukkan rasa cinta dan mengagungkan Tuhan.

PENGENALAN SYAIR

- Syair merupakan puisi berangkap.

- Diklasifikasikan kepada beberapa jenis berdasarkan isi atau maksud, tema dan peranannya kepada masyarakat, iaitu:

o Naratif: syair keagamaan, syair kiasan, syair romatis, dan syair sejarah.

o Non-naratif: syair agama, syair nasihat, dan tema-tema yang lain.

- Fungsi:

o Syair berbentuk cerita berfungsi sebgaai bahan hiburan.

o Syair agama dan nasihat berfungsi untuk mengawal akhlak dan memberikan pendidikan.

o Syair sindiran pula berfungsi untuk mencela atau mengejek seseorang atau masyarakat secara berkias.

- Ciri-ciri syair:

o Setiap rangkap mempunyai empat baris dan setiap baris tersebut merupakan isi atau maksud syair.

Setiap baris mempunyai empat patah kata dan jumlah suku katanya adalah antara Sembilan hingga tiga belas suku kata. Rima akhir sekata, iaitu aaaa.

PENGENALAN PANTUN

Pantun merupakan puisi tradisional yang digunakan secara meluas sejak zaman dahulu kala hingga ke zaman kini. Pantun merupakan warisan bangsa Melayu yang sangat tinggi nilai estetikanya. Pantun digunakan sebagai hiburan kerana pada zaman dahulu tidak terdapat sebarang media yang boleh digunakan untuk menghiburkan mereka apabila pulang dari bersawah, memcuci pakaian dan banyak lagi. Kini penggunaan pantun masih digunakan dalam aktiviti seperti majis rasmi, majlis perkahwinan, pertandingan-pertandingan dan banyak lagi.

Pantun bukan sahaja dijadikan sebagai hiburan, tetapi dalam hiburan terdapat unsur-unsur seperti nasihat dan peraturan-peraturan hidup yang membimbing anggota masyarakat. Antara isi yang terdapat di dalam pantun ialah ;
  • Adat Resam
  • Budaya
  • Falsafah
  • Agama
Pantun menjalankan fungsi-fungsi tertentu. Antara fungsi pantun ialah

  • Untuk menyampaikan kiasan, nasihat, pesanan, sindiran dan teguran
  • Mengungkapkan perasaan gembira, hiba, rindu dan sedih
  • Menyatakan penghargaan atau terima kasih
  • Menegaskan pendapat dan menjelaskan maklumat
  • Menguji ketangkasan dan ketajaman fikiran

Ciri-ciri pantun terbahagi kepada dua

  • Pembayang
  • Maksud

Pada bahagian pembayang, pemantun menggambarkan keindahan yang boleh dikemukakan pada bahagian maksud. Pemantun perlu menggunakan sumber atau ilham yang datang dari alam contohnya:

amboi terang sinar sang suria,

memancar terang menyuluh bumi;

Kedua-dua rangkap di atas merupakan contoh pembayang. Pemantun menggunakan unsur alam iaitu matahari. bagi rangkap yang seterusnya,

bersinar iman kerana taqwa,

kekal di bawa sampai mati.

Rangkap di atas merupakan maksud pantun. Maksud merupakan perkara asal yang mahu disampaikan oleh pemantun.

Pantun boleh ditulis dengan beberapa jenis bentuk. Antara bentuk pantun ialah

  • Pantun 2 kerat
  • Pantun 4 kerat
  • Pantun 6 kerat
  • Pantun 8 kerat
  • Pantun 12 kerat

Pantun mempunyai rima. Bagi pantun 2 kerat rimanya ialah aa, pantun 4 kerat abab, pantun 6 kerat abcabc, pantun 8 kerat abcdabcd dan begitulah seterusnya.

Jenis-jenis pantun dinamakan dan diklasifikasikan berdasarkan isi atau maksudnya, tema yang hendak disampaikan dan peranannya kepada masyarakat seperti yang berikut ;


  • Pantun cinta
  • Pantun kanak-kanak
  • Pantun nasihat, agama dan adat
  • Pantun puji-pujian atau sambutan
  • Pantun teka-teki
  • Pantun telatah masyarakat, seperti pantun budi, pantun nasib, pantun jenaka dan
  • Pantun sindiran.