Saturday, December 17, 2011

Analisis Sajak Hari Guru

MAKSUD

Maksud Rangkap 1:

Semasa sambutan Hari Guru, para guru bertekad menunaikan amanah dan harapan para ibu bapa untuk melaksanakan tugas mendidik anak-anak yang bakal menerajui negara pada masa hadapan.


Maksud Rangkap 2:

Hari Guru merupakan hari para guru bermuhasabah diri tentang tanggungjawab dan keazaman mereka sama ada masih lagi kukuh atau telah hilang kerana pelbagai dugaan.


Maksud Rangkap 3:

Hari guru merupakan hari para guru menerima penghormatan dan penghargaan kerana jasa-jasa mereka.



TEMA

Tema sajak ini ialah penghargaan terhadap guru melalui sambutan hari guru.


PERSOALAN


1. Persoalan peranan guru mendidik anak bangsa.


2. Persoalan melaksanakan tugas yang diamanahkan kepada kita.

3. Persoalan kesedaran tentang tugas dan tanggungjawab yang dipikul.

4. Persoalan tugas guru yang sentiasa dikenang dan dihargai.



GAYA BAHASA


1. Personifikasi

adalah hari yang menuntut kita. (Rangkap 2, baris 2)


2. Metafora

apakah tiang azam (Rangkap 2, baris 4)

tunas bangsa (Rangkap 1, baris 8)


3. Anafora

ada bunga dikalung

ada puji dilafazkan

ada jasa dikenangkan (Rangkap 2, baris 2 hingga 3)

4. Asonansi

adalah hari kita. (Rangkap 1, baris 2)

Pengulangan vokal ’a’


5. Aliterasi

masih tegak kukuh (Rangkap 2, baris 5)

pengulangan konsonan ’k’.



BENTUK SAJAK

1. Sajak ini terdiri daripada tiga rangkap.


2. Rima akhir bebas.


3. Jumlah perkataan sebaris antara dua hingga lima patah kata.


4. Jumlah suku kata sebaris antara empat hingga sebelas suku kata.


5. Jumlah baris serangkap adalah bebas

Contohnya : (Rangkap 1 – ada sembilan baris, Rangkap 2 – ada sepuluh baris dan Rangkap 3 – ada tujuh baris).




NADA


Nada sajak ini ialah Patriotik.







NILAI


1. Nilai amanah

Para guru memikul amanah para ibu bapa untuk mendidik anak-anak mereka.


2. Nilai tanggungjawab

Guru-guru bertanggungjawab untuk melaksanakan tugas / tanggungjawab mereka untuk membimbing anak bangsa.


3. Nilai penghargaan terhadap orang yang berjasa

Jasa guru dihargai dan dikenang melalui sambutan hari guru.


4. Nilai kesedaran

Para guru sepatutnya sedar akan tugas dan peranan mereka dalam mendidik pelajar.




PENGAJARAN

  1. Para guru hendaklah menunaikan amanah ibu bapa untuk mendidik anak-anak mereka.
  2. Kita hendaklah menghargai peranan para pendidik (guru) dalam usaha mendidik dan memberi ilmu kepada anak bangsa kita- hari guru merupakan salah satu cara untuk menghargai guru.
  3. Para guru hendaklah sedar akan peranan dan tanggungjawab mereka iaitu mendidik pelajar.
  4. Kita hendaklah mengenang jasa orang yang banyak memberi ilmu kepada kita- Jasa guru hendaklah sentiasa kita kenang.


No comments: